Tuesday, 3 January 2012

Wenger Rasa Kekalahan Sebab Pengadil Tak Adil

LONDON: Arsene Wenger menyalahkan pengadil Lee Probert atas kekalahan Arsenal 2-1 di tangan Fulham dengan mendakwa pasukannya menerima layanan tidak adil apabila tidak dihadiahkan sepakan penalti dalam empat daripada lima perlawanan terakhir Liga Perdana mereka.

Pengendali dari Perancis itu percaya, pasukannya sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada pertemuan menentang Manchester City, Aston Villa, QPR dan yang terbaru ketika tumpas di Craven Cottage semalam apabila Gervinho dijatuhkan bekas pertahanan Gunners, Philippe Senderos.


Arsenal mendahului menerusi gol tandukan Laurent Koscielny namun terpaksa beraksi 10 pemain di penghujung perlawanan selepas Johan Djourou dibuang padang. Kesempatan itu pantas diambil Fulham yang menghasilkan gol melalui bekas pemain tengah Gunners, Steve Sidwell dan Bobby Zamora pada tempoh lima minit terakhir.

“Pada pendapat saya, cara pengadil mengendalikan perlawanan itu tidak betul,” kata Wenger selepas kekalahan itu yang menyebabkan pasukannya jatuh ke tangga kelima selepas Chelsea menewaskan Wolves, 2-1.


“Kami tidak boleh mempengaruhi keputusan itu,” tambah Wenger yang mungkin dikenakan tindakan disiplin oleh Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) kerana mengkritik pengadil.


“Kami beraksi dengan baik pada babak pertama. Pada separuh masa kedua, kami agak keletihan dan pada 10 minit terakhir kami tewas kerana beraksi 10 pemain.” Arsenal boleh meraih mata jika dihadiahkan sepakan penalti atas kesilapan Senderos menjatuhkan Gervinho pada minit ke-13.

No comments:

Post a Comment