Wednesday, 4 January 2012

Liverpool Kene Belasah Dengan City


MILNER (tiga dari kanan) meraikan kejayaan menjaringkan gol ketiga City menerusi sepakan penalti.


MANCHESTER - Manchester City mengutip tiga mata penuh untuk kekal di tangga teratas Liga Perdana England selepas menewaskan Liverpool 3-0 di Stadium Etihad awal pagi semalam.

Jaringan pertama City diperoleh menerusi Sergio Aguero pada minit kesembilan sebelum Yaya Toure menyumbat gol kedua (minit ke-32), sekali gus membuktikan kehebatan skuad kendalian Roberto Mancini itu bermain di gelanggang sendiri.

Meskipun terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Gareth Barry dilayangkan kad merah pada minit ke-73, City masih mampu menambah gol ketiga selepas James Milner tenang menyempurnakan sepakan penalti (ke-75).

Mancini berkata, beliau masih belum menemui pemain yang mampu menggantikan kehebatan Yaya dalam pasukan.

"Saya sudah berusaha tetapi masih belum menjumpai pemain yang boleh menggantikan tempat Yaya. Bagi kami, dia merupakan pemain yang penting.

"Jika kami mampu mengekalkan kedudukan di persada liga sepanjang bulan Januari ini, kami mampu memenangi gelaran liga tetapi kami terpaksa bermain setiap tiga hari tanpa Yaya dan abangnya, Toure Kolo.

"Saya rasa, United merupakan pasukan yang hebat tetapi kami juga perlu fikirkan mengenai pasukan kami sendiri, cuba untuk memenangi setiap perlawanan dan lihat apa bakal berlaku pada akhir saingan nanti," kata Mancini.

Mancini berkata, perebutan gelaran juara Liga Perdana England pasti sengit sehingga akhir musim ini kerana Tottenham Hotspur turut mengekori rapat kedudukan mereka.

Untuk rekod, City berjaya mengumpul 52 mata daripada 54 perlawanan di tempat sendiri sepanjang tahun 2011.

Selepas mengutip satu mata daripada dua perlawanan terakhir, City kembali menyerlah di gelanggang sendiri.

Dalam pada itu, City terpaksa berdepan masalah apabila mengalami kekurangan pemain utama ekoran Yaya dan Kolo akan menggalas tugas bersama skuad kebangsaan Ivory Coast di Piala Negara-Negara Afrika. - Agensi

No comments:

Post a Comment