Monday, 2 January 2012

Lampu Stadium Bermasalah

JAWATANKUASA Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenal pasti empat buah stadium yang masih bermasalah daripada aspek pencahayaan lampu limpah sehingga memaksa perlawanan diadakan pada sebelah petang.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud berkata, empat stadium berkenaan ialah Stadium Hang Jebat dan Stadium Hang Tuah di Melaka, Stadium Selayang di Selangor serta Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya, pihak pengurusan dan persatuan masih boleh membuat rayuan kepada FAM dengan meningkatkan kualiti pencahayaan pada lampu limpah di stadium masing-masing.

“Buat masa ini, hanya empat buah stadium gagal melepasi syarat yang ditetapkan oleh jawatankuasa ini dan kemungkinan besar perlawanan di stadium berkenaan akan dilangsungkan pada sebelah petang,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Stadium Hang Tuah bakal menjadi gelanggang buat pasukan kelab, NS Betaria FC dalam saingan Liga Perdana sementara Stadium Hang Tuah pula menjadi lokasi perlawanan bagi pasukan Felda FC.

KL Pos Malaysia pula yang beraksi dalam Liga Perdana akan beraksi di Stadium Selayang.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad berkata, semua stadium yang bakal digunakan untuk kempen Liga Malaysia (Liga M) sepatutnya telah lengkap sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum perlawanan pertama bermula.

“Kita perlu memastikan stadium mana yang akan digunakan pada waktu malam dan petang bagi memastikan penyusunan jadual perlawanan.

“Namun, sebarang keputusan hanya akan dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan FAM dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment