Thursday, 12 January 2012

Banyak Prosuder Sebelum Nak Menyaman

Anggota berhak saman - Azzuddin


AZZUDDIN


ANGGOTA bersekutu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai hak menyaman badan induk bola sepak negara itu tetapi ia merupakan proses terakhir dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian.

Merujuk kepada laporan bahawa kerajaan Terengganu akan menyaman FAM sekiranya badan induk itu gagal memenuhi tuntutan berhubung kes pemain import, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, mengikut statut badan induk tersebut, anggota bersekutu perlu terlebih dahulu melalui beberapa proses.

"Sebagai anggota bersekutu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) perlu merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan. Jika tidak berpuas hati, bolehlah membawa perkara tersebut kepada mesyuarat Exco FAM.

"Proses seterusnya ialah membawa kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan sekiranya masih gagal menemui penyelesaian, barulah boleh mengambil tindakan undang-undang," katanya semalam.

Azzuddin mengulas tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kelmarin yang memberi kata dua kepada FAM untuk menarik keluar dua pasukan dari Terengganu, pasukan negeri dan kelab T-Team daripada Liga Malaysia (Liga-M) sekiranya isu pemain import mereka gagal diselesaikan.

Ahmad mahu FAM membenarkan Terengganu menggunakan dua pemain import yang telah didaftarkan sebelum ini, dan menghendaki FAM membayar ganti rugi kerana kerajaan negeri telah mengeluarkan belanja banyak untuk mendapatkan dua pemain import berkenaan.

Ahmad dilaporkan berkata, jika FAM gagal berbuat demikian, kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang.

Isu ini timbul ekoran surat pekeliling FAM bertarikh 23 Disember 2011 berhubung pendaftaran pemain import yang dihantar oleh Azzuddin kepada PBSNT sebelum kontrak dengan pemain import ditandatangani untuk beraksi dalam Liga-M 2012.

Terengganu dikejutkan keputusan FAM itu yang tidak membenarkan dua pemain import dari Brazil, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva Santos Carniet, beraksi dalam Liga Super yang telah bermula dua hari lepas dengan alasan PBSNT gagal mematuhi pekeliling berkenaan.

Mengenai isu status pemain import ini, FAM menerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JK- PT) akan mengadakan sidang akhbar khas hari ini bagi memberi penjelasan.

No comments:

Post a Comment